Jangan Permainkan Cinta!
Biar Gambar Berbicara |
Cinta juga lahir dari perkaitan ayat Al-Quran di mana Allah mengaitkan peri penting dua perhubungan iaitu hablun minallah dan hablun minannas. Cinta termasuk dalam aspek sosialiti manusia. Bagaimana manusia itu berinteraksi dan bermu’amalah dengan manusia2 lain di sekelilingnya.
Tanda Jatuh Cinta
Ramai orang keliru antara cinta, sayang dan kasih. Terkadang dia merasakan bahawa yang merah itu adalah cinta, walhal merah itu adalah nafsu- simbolik yang membahaya dan membinasakan. Ramai orang terpedaya dan tertipu lantas terjatuh ke lembah merah, menempah nama untuk menjadi bahan bakaran api neraka bersama para Jin dan Syaitan. Na’uzubillah.
Ungkapan ‘cinta pandang pertama’ sebahagian besarnya disebabkan nafsu. Cinta setelah bertemu, berpegangan, bermesra dan sebagainya juga sebahagian besarnya adalah dorongan nafsu. Membezakan nafsu dan cinta bukanlah suatu perkara yang mudah.
Anda bertemu dengannya, melihat rupa parasnya, mungkin juga mengenali liuk lentok serta sifat2 kewanitaannya, kemudian menjadikan bibir anda mengungkap kata ‘aku cintakan dia’. Dorongan itu lahir dari kerana mata, yang seringkali menipu. Dari mata bukan jatuh ke hati, bahkan dari mata terlalu banyak yang jatuh ke nafsu.
Hormon2 anda berbicara tatkala anda menghampiri, memerhati, merasai terutama dari aspek fizikal seseorang. Jatuh cinta kerana jelingan mata, kerana kemanjaan, kerana kelembutan yang dipamerkan, kerana kulit yang putih gebu, kerana susuk tubuh yang montok. Semua itu tarikan dan dorongan nafsu, ia bukan bermakna anda jatuh cinta.
Kebanyakan pasangan kekasih akan mulai rapat, bersentuhan tangan, saling membelai, mengambil berat yang berlebihan sehingga menuntut sesuatu yang lebih daripada itu.
Akhirnya atas nama cinta, keinginan seksual saling dilempiaskan. Bagi mereka, itu kemuncak cinta. Itu pengorbanan dan tanda kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Malangnya, setelah tubuh badan dijadikan taruhan, pasangan menghilang entah ke mana. Paling banyak berlaku, hubungan putus di tengah jalan. Nah, waktu itu baru dia mengerti, semuanya bukan cinta bahkan nafsu seksual semata2.
Hidup Bagai Roda
Tinggal seketika persoalan itu. Kita bicara pula fenomena cinta yang benar2 ingin direalisasi. Bukan semua lelaki jahat, bukan semua wanita baik. Begitu juga sebaliknya. Bahkan di zaman sekarang, wanita lebih ramai yang jahat berbanding lelaki. Jahat yang tersembunyi. Kekejian yang tersirat di benak hati. Dahulu ramai wanita mangsa lelaki, kini wanita semakin ramai menjadi pemangsa kepada lelaki. Mungkin wanita merasakan dalam dunia kebinatangan yang penuh kejahatan ini, tipu daya adalah senjata paling ampuh untuk menghancurkan lelaki.
Islam membuka ruang dan peluang kepada mereka yang ingin bercinta. Islam menganjurkan nikah. Nikah adalah sunnah Nabi. Syariat Islam bergembira bilamana ada seorang lelaki yang tulus ikhlas melamar seorang wanita untuk dijadikan isteri. Bahkan dianjurkan pula supaya lamaran dari seorang lelaki yang baik dan beriman serta diyakini agamanya untuk diterima dan tidak ditolak.
Dalam sepotong hadith Nabi s.a.w mengingatkan :
” Apabila datang ( melamar ) kepadamu seorang lelaki yang kamu yakini akhlak dan agamanya, maka kahwinkanlah dia. Sekiranya tidak maka akan berlaku kerosakan dan fitnah yang besar di atas muka bumi “Realiti zaman kini, jarang lelaki akan terus melamar tanpa terlebih dahulu mengenali. Ia mungkin suatu fleksibeliti yang tidak ditegah, cuma harus dikawal. Berkawan, mengenali hati budi terlebih dahulu adalah suatu tindakan yang bijak. Asal sahaja dijauhkan dan dielakkan dari aspek2 negatif atau pergaulan yang melampaui undang2 syara’.
Atas fenomena inilah timbulnya cinta palsu, perasaan dipermainkan, bertepuk sebelah tangan dan sebagainya. Ia mungkin berlaku disebabkan pihak lelaki, dan tidak kurang juga berpunca dari pihak wanita. Semakin lama, mereka seolah melupai bahawa soal cinta dan perasaan juga adalah perkara yang akan dipersoalkan dihadapan Allah ta’ala pada hari kiamat kelak.
Mempermainkan perasaan seorang manusia , samada lelaki atau wanita , adalah satu bentuk kezaliman yang jelas sekali ditegah oleh Islam. Bisa lidah boleh menghiris hati. Terluka di hati lebih terkesan dari terluka di tangan atau kaki. Apakah kira2 kezaliman seperti ini tidak akan dibalas oleh Allah?
Kita seringkali mendengar kisah tentang kambing bertanduk dan tidak bertanduk. Di dunia, kambing tidak bertanduk seringkali menjadi mangsa kambing yang memiliki tanduk.
Akibatnya di akhirat, Allah hilangkan tanduk pada kambing tersebut dan tumbuhkan tanduk pada kambing yang satu lagi. Lantas kambing pertama menerima kembali balasan dan kesakitan yang dirasai oleh kambing kedua.
Adakah kira2 Allah itu alpa dari kezaliman yang dilakukan oleh manusia terhadap manusia yang lain? Apatah lagi soal yang melibatkan hati serta perasaan. Kita seringkali diingatkan bahawa hidup umpama roda. Hari ini kita menindas, esok hari orang lain pula menindas dan menzalimi kita. Balasan tetap akan datang. Kesakitan itu tetap akan kita rasai. Samada lelaki atau wanita, apabila mereka mempermainkan soal hati dan perasaan terhadap seseorang yang lain, pasti akan menerima balasan yang sama suatu masa nanti.
Kisah Benar
Saya pernah membaca suatu kisah benar tentang ini. Bagaimana seorang wanita yang awalnya seorang yang baik akhlak dan agamanya, namun mempermainkan perasaan lelaki2 yang berniat ikhlas melamarnya. Dengan kelebihan rupa paras yang ada, dia mengumpan sebilangan lelaki meminati dan menaruh harapan ke atasnya, kemudian akhirnya dipermain dan diperbodohkan. Selang dua tahun, wanita tersebut tidak juga menemukan cinta sejati yang dicari. Putera kayangan yang diimpikan, malapetaka yang menimpa diri. Wanita tersebut akhirnya terlanjur atas nama cinta. Cinta yang palsu.
Begitu juga dengan sebilangan kisah2 lelaki dan wanita yang merasa seronok apabila ramai yang meminati , kemudian mengumpan dan akhirnya menyakiti tanpa rasa bersalah. Akhirnya sehingga lanjut usia Allah tidak hadirkan pasangan yang dia idam2kan. Bagi wanita bergelar andartu, bagi lelaki mendapat status bujang terlajak.
Adakah kira2 ini tidak termasuk soal agama? Siapa yang merencana dan berada di sebalik tabir kesemua yang berlaku? Bukankah Dia adalah Allah? Pencipta cinta yang wajib dicinta ? Dan lupakan kita bahawa Dia amat benci kepada kezaliman?
Taubat Cinta
Sedar atau tidak, Allah telah mengajar saya banyak perkara. Mungkin juga sebagai kifarah atas kekhilafan silam. Mungkin dahulu saya juga pernah menzalimi perasaan orang, kini Allah datangkan kesakitan yang sama sebagai muhasabah dosa. Dalam irama redha dan menerima, saya suka untuk menjadikan ia sebagai perkongsian. Suatu hari nanti, saya ingin sekali menjadi ‘motivator cinta’ untuk ramai insan lain. Menyedarkan mereka makna cinta yang sebenar. Tidak mudah dikesan dimata , tidak menyakitkan , tidak hipokrit , bahkan aman dan bahagia dalam rahmat Allah sepanjang masa.
Hari ini mungkin kita disakiti kerana pernah menyakiti. Bagi yang menyakiti kita, serahkan sahaja kepada Allah. Dia lebih tahu bagaimana mengajar hambaNya. Yang pasti, orang yang menyakiti kita akan turut merasai kesakitan yang sama, bahkan mungkin lebih lagi. Apalah ertinya bahagia dalam kedukaan insan lain? Saya, anda dan mereka mungkin pernah merasai dan melalui- sebagai insan yang belajar tentang kehidupan.
Lupakah kita tentang sebuah hadith yang berbunyi :
” Takutilah doa orang yang dizalimi , kerana tiada hijab antaranya dengan Allah ta’ala “
Fahamilah ia, sebagai pengajaran atas nama ‘ amaran cinta ‘.
Comments