BERITA TARIKH SEMAKAN KEPUTUSAN RAYUAN IPTA LEPASAN STPM 2011/2012





KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi menerima sebanyak 30,414 permohonan rayuan untuk kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Setaraf (Ijazah Pertama) Sesi Akademik 2011/2012.

Daripada jumlah itu, sebanyak 16,159 atau 53.13 peratus permohonan rayuan diterima daripada calon memiliki kelayakan diploma atau setaraf, 12,183 atau 40.06 peratus (STPM), 1,057 atau 3.48 peratus (matrikulasi/asasi) dan 1,015 atau 3.34 peratus (Sijil Tinggi Agama Malaysia/STAM).

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata Mesyuarat Pemilihan Bersama Rayuan akan diadakan mulai Isnin depan sehingga 15 September ini.

Beliau berkata, keputusan permohonan rayuan itu akan diumumkan pada 17 September ini mulai jam 12 tengah hari melalui url upu.mohe.gov.my yang mana calon boleh mencetak surat tawaran menerusi laman web IPTA berkaitan dan mereka yang berjaya dijadual mendaftar di universiti mulai 19 September ini.

Dasar pemilihan rayuan ialah untuk mengisi kekosongan tempat yang berlaku selepas pendaftaran pelajar baru ke IPTA. Isu berbangkit kerana pemohon tidak berpuas hati dengan tawaran atau gagal mendapat tempat, perlu ditangani secara berhemah oleh kementerian.

Mengenai isu yang berbangkit, dikenal pasti antara faktor calon tidak mendapat tawaran ijazah pertama ialah tidak memenuhi syarat am ditetapkan. Mungkin calon tidak mendapat pendedahan maklumat tepat dan terkini daripada guru bimbingan dan kaunseling di sekolah mengenai dasar serta prosedur permohonan ke IPTA.

Selain itu, calon juga kurang meneliti syarat khas program ditetapkan bagi pengajian yang dimohon melalui e-panduan disediakan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar JPT. Akibatnya, calon tidak bijak memilih program pengajian bersesuaian dengan kelayakan dimiliki.
Satu lagi faktor ialah kecenderungan calon memohon program pengajian popular atau kompetitif di IPTA yang berfokus di Lembah Klang saja walaupun memiliki kelayakan rendah dan tidak memenuhi syarat khas program ditetapkan oleh IPTA berkaitan. Calon kurang bijak serta tidak strategik dalam pemilihan program pengajian dan juga IPTA ketika mengemukakan permohonan sehingga menyebabkan mereka tidak terpilih, katanya kepada Berita Harian, semalam.


Seterusnya, Rujhan berkata, kementerian juga mengenal pasti ramai calon aliran sastera, terutama berkelayakan STPM dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) tinggi, tidak mendapat tawaran kemasukan kerana kekurangan tempat disediakan IPTA bagi program pengajian yang dimohon.

Beliau berkata, ada calon aliran sains dengan PNGK tinggi pula memohon program pengajian Sains Kesihatan Bersekutu yang mempunyai bilangan tempat kemasukan terhad.

Akibatnya ketika pemilihan, calon hanya dapat ditawarkan program pengajian yang ada kekosongan, iaitu sains gunaan, sains tulen, kejuruteraan, teknologi dan sains komputer, katanya.


p/s> SEMOGA ADALAH REZEKI UNTUK DIRI INI, SEGALA NYA KU SERAHKAN PADAMU YA ALLAH

Comments

Popular Posts