Statue rome. Sejauh manakah pemahaman kita

Assalamualaikum.

Sebagai seorang graduan lulusan kajian antarabangsa aku terpangil untuk menulis sedikit pemahaman akan statue rome ini

Statut Rom merupakan sebuah triti atau perjanjian antarabangsa berkenaan jenayah antarabangsa yang menjadi asas kepada penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), dan telah disertai oleh 124 buah negara setakat ini.

Empat jenis jenayah antarabangsa di bawah bidang kuasa Statut Rom adalah genosid (penghapusan bangsa/kaum), jenayah terhadap manusia, jenayah perang, dan jenayah agresi (perbuatan menyerang atau menceroboh hak individu atau hak wilayah sesuatu bangsa atau negara).

Statue Rom telah secara terang menyatakan bahawa hanya ICC yang mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mendakwa keempat-empat jenis jenayah antarabangsa ini sekiranya negara tersebut gagal (unable) atau enggan (unwilling) untuk menyiasat dan/atau mendakwa si pesalah laku.
Dalam erti kata lain, ICC hanya akan masuk campur dalam urusan berkenaan jenayah antarabangsa ini jika negara yang terlibat enggan atau gagal untuk menyiasat dan/atau mendakwa si pesalah laku tersebut.

Jika si pesalah laku sudah disiasat dan/atau didakwa di negara yang terlibat, maka ICC sudah tidak lagi boleh untuk mencampuri urusan tersebut, melainkan ada sebab-sebab lain yang membenarkan ICC untuk masuk campur.

ICC juga hanya mempunyai bidang kuasa dalam aspek jenayah antarabangsa tersebut seandainya jenayah itu dilakukan dalam kawasan negara ahli kepada Statut Rom atau dilakukan oleh rakyat kepada negara ahli tersebut.

Namun, ICC dibenarkan untuk mengambil tindakan kepada mana-mana negara bukan ahli kepada Statut Rom jika mendapat mandat atau kebenaran daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Jadi, tidak kira sama ada Malaysia menyertai Statut Rom atau tidak, kita masih boleh didakwa di ICC seandainya berlaku sebarang salah laku dalam empat jenis jenayah antarabangsa tersebut.

Persoalannya di sini adalah, adakah perlu untuk Malaysia menyertai Statut Rom? Apakah kepentingannya jika kita menyertai Statut Rom ini? Benarkah Statut Rom ini bakal menggugat kedaulatan negara serta bakal melemahkan institusi beraja di negara ini, terutamanya kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA)? Ini antara persoalan yang banyak berlegar di ruangan maya mutakhir ini. Ditambah pula dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tengku Mahkota Johor yang seakan tidak restu dengan keputusan Kerajaan untuk menyertai Statut Rom.
Pada dasarnya, ICC hanya boleh mendakwa individu tertentu sahaja dan tidak boleh mendakwa sesebuah negara atau organisasi secara keseluruhannya. Menurut Statut Rom, tiada pegawai kerajaan atau komander tentera yang imun daripada didakwa di ICC (rujuk Perkara 27(2) Statut Rom) kecuali jika beliau berusia bawah 18 tahun (rujuk Perkara 26 Statut Rom).

Ertinya, tidak kira sama ada pesalah tersebut adalah perdana menteri hatta raja sekalipun, jika terbukti beliau terlibat dengan jenayah antarabangsa tersebut, maka beliau tidak boleh (secara umumnya) mendapatkan sebarang perlindungan atau imuniti antarabangsa.

Dalam Malaysia sedang tegar mahu menyertai Statut Rom ini, sedarkah kita bahawa sudah terdapat beberapa negara yang menarik diri daripada terus menjadi ahli kepada Statut Rom ini? Contohnya, negara-negara seperti Burundi yang menarik diri pada 2017 serta empat buah negara kuasa besar lain seperti Amerika Syarikat, Israel, Rusia dan Sudan telah memaklumkan kepada PBB untuk menarik diri daripada menjadi ahli kepada Statut Rom. Ini belum lagi dikira 31 buah negara yang telah menandatangani Statut Rom tetapi masih tidak meratifikasinya.
Jadi, adakah Malaysia sebenarnya sudah bersedia untuk ‘memeluk’ Statut Rom ini? Secara kasarnya, tiada masalah untuk Malaysia menyertai Statut Rom ini. Namun, beberapa aspek perlu diambil kira terutamanya aspek yang melibatkan YDPA, kerana YDPA merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara.

Namun, tidak semestinya YDPA di atas kapasiti sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara yang akan didakwa di ICC kerana ICC masih perlu melihat siapa yang bertanggungjawab secara langsung dengan arahan untuk jenayah tersebut dilakukan.

Berkemungkinan besar Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang akan didakwa berbanding YDPA kerana, secara praktikalnya, panglima tentera yang bertanggungjawab atas segala urusan taktikal ketenteraan negara. Malah, para menteri juga boleh didakwa jika mereka terlibat dengan jenayah tersebut.
Pada umumnya, tiada apa yang tergugat jika Malaysia menyertai Statut Rom. Cuma kita perlu mengambil kira banyak aspek sebelum kita menyertai apa juga triti antarabangsa. 

Jadi pada pendapat aku.  


Kerajaan tidak boleh tergesa-gesa untuk menandatangani sebarang triti antarabangsa walaupun kajian yang mendalam telah dilakukan.
Rakyat harus didedahkan dan dididik terlebih dahulu mengenai sesuatu triti yang hendak disertai bagi mengelakkan sebarang salah faham atau ‘salakan’ yang tidak keruan. Jika seorang yang berprofil dan berpendidikan tinggi juga tidak begitu memahami situasi dan implikasi mengenai Statut Rom ini, bagaimana pula rata-rata rakyat marhaen yang lain boleh memahaminya dengan lebih baik?

Sumber rujukan
Sinar harian
Beberapa artikel tulisan pakar kajian antarabangsa




Comments

Popular Posts