Tragedi Mangkuk Merah

Secara jujurnya sarawak merupakan sebuah negeri yang cukup dekat di hati aku kerana lebih 5tahun diri ini bermukim menumpang kasih menuntut ilmu disana. Sepanjang di sana aku turut punyai beberapa kawan yg berbangsa dayak dan kawan2 yang berasal dari kalimatan. Bila terbaca isu mangkuk merah ni aku tertarik untuk sama2 berkongsi dengan korang sebagai pembaca.

MENGUAK pintu sejarah bagaimana sekitar September hingga Disember 1967 telah berlaku satu tragedi yang melibatkan kematian yang besar ke atas kaum Cina di Kalimantan Barat dek kerana diusir keluar oleh masyarakat Dayak Kalimantan.  Puncanya adalah kerana wujudnya perasaan benci dan dendam dek kerana ramai masyarakat Dayak yang mendiami wilayah persempadanan Sarawak/Kalimantan mati dibunuh oleh komunis iaitu mereka yang menganggotai Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS) dan Parti Komunis Kalimantan Utara (PARAKU) ketika Konfrontasi Malaysia Indonesia yang berlangsung dari tahun 1963 hingga 1966. 
Jauh sebelum itu yakni ketika Malaysia, sebuah negara yang baru ditubuhkan telah mendapat bangkangan yang keras daripada jirannya iaitu Republik Indonesia.  Presiden Sukarno sendiri yang telah memutuskan hubungan diplomatik dan seterusnya mengadakan operasi ketenteraan di sepanjang sempadan Sarawak, Sabah mahupun Brunei di Borneo.  Pada ketika selain tentera mereka sendiri, Presiden Sukarno turut mendapat sokongan daripada kaum Cina yang berfahaman komunis samada dari Sarawak mahupun Kalimantan itu sendiri. 
Kota-kota di perbatasan seperti Sambas, Bengkayang, Ledo, Sanggau dan Putusibau dijadikan markas untuk melatih para sukarelawan dari masyarakat Cina dari dua negara pada masa itu.  Mereka sendiri dilatih oleh Tentera Nasional Indonesia agar menjadi benteng pertahanan di dalam misi dan visi Presiden Sukarno yang mengistiharkan “Ganyang Malaysia”.   Hasilnya maka ramai masyarakat Cina yang mempunyai ideologi yang sama seperti Presiden Sukarno turut terlibat di dalam peperangan di perbatasan melawan Tentera-tentera Komanwel dan tentera Malaysia sendiri.
Pada tahun 1965, Sukarno telah kalah di dalam pilihanraya Indonesia lantas digantikan oleh Presiden Suharto.  Presiden Suharto tidak bersetuju dengan tindakan Sukarno yang terdahulu lantas menamatkan satu perang yang tidak perlu ke atas negara jirannya.  Pada saat itu juga pasukan separa tentera yang sebelumnya dilatih oleh TNI sudah menjadi duri dalam daging ke atas pemerintahannya di Kalimantan.  Pasukan komunis samada dari PGRS dan PARAKU masih belum mahu berdamai dan terus-terusan dengan taktik mereka untuk meluaskan pengaruh komunisme di Borneo.  Jadi kerana itulah perasaan dayak sebagai majoriti di Kalimantan dengan sengaja diprovokasi oleh TNI untuk bangun menentang para komunis di negara mereka. 
Provokasi yang berterusan akhirnya menjadi api yang cukup besar apabila masyarakat Dayak bangun dan akhirnya mengusir keluar mana-mana masyarakat Cina yang berada di Pontianak dan kawasan sekitarnya.  Diceritakan ketika proses pengusiran berlangsung tiada masyarakat Cina yang mampu berbuat apa-apa dan ada antara mereka hanya membawa diri sehelai sepinggang bersama keluarga ke kawasan mereka diusir.  Mereka meninggalkan rumah dan segala harta benda dengan berjalan kaki menuju ke Singkawang.  Jika ada yang cuba untuk membantah dan melawan masyarakat Dayak pada masa itu maka sudah tentu mautlah kata pemutus bagi mereka. 
Di Singkawang, masyarakat Cina hidup di dalam serba-serbi kekurangan berbanding ketika mereka berada di Pontianak.  Kekurangan infrastruktur awam seperti air malah juga bekalan makanan yang sedikit berbanding jumlah mereka yang besar memungkinkan ramai antara mereka sakit, kelaparan dan akhirnya menemui ajal. Menurut rekod menunjukkan sepanjang empat bulan proses pengusiran ini berlangsung hampir 3,000 hingga 4,000 orang masyarakat Cina yang terkorban. Menjadikan ianya satu tragedi berdarah yang melibatkan angka korban yang besar di dalam sejarah berdirinya Republik Indonesia itu sendiri. 
Dalam pada itu mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa tragedi berdarah ini digelar tragedi mangkuk merah?  Perlulah diketahui bahawa mangkuk merah itu adalah satu tradisi di dalam adat masyarakat Dayak dahulukala yang terkenal dengan perang wilayahnya.  Pada ketika itu mangkuk merah berfungsi sebagai wadah komunikasi antara masyarakat dayak seluruh Borneo.  Sebelum mereka ingin memulakan satu peperangan akan ada ritual yang menghubungkan mereka dengan roh nenek moyang melalui Panglima Adat. 
Setelah Panglima Adat mendapat jawapan maka baharulah mangkuk merah akan dihantar ke seluruh masyarakat dayak yang terlibat melalui orang suruhan yang amat-amat dipercayai.  Di ketika Ketua masyarakat Dayak menerima mangkuk merah tersebut maka tindakan segera harus dilakukan dengan mengadakan mesyuarat dengan semua anak-anak buahnya samada akan menyokong atau tidak perang itu diistiharkan.  Mereka akan bermusyawarah dengan mengambilkira semua aspek atas perang yang akan dilakukan. 
Ternyata isyarat mangkuk merah itu diterima oleh masyarakat Dayak di Kalimantan sehingga memungkinkan mereka seia sekata bangun mengusir kesemua masyarakat Cina di Kalimantan samada dari kalangan rakyat biasa sekalipun.  Dek kerana itulah di dalam sejarah Kalimantan peristiwa ini dikenali dengan nama Tragedi Berdarah Mangkuk Merah 1967. 
Inilah yang tercatit di dalam sejarah jiran tetangga kita yang mana menyaksikan dek kerana segelintir kaum Cina punya ideologi yang berbeza sehingga sanggup membunuh kaum yang lain sewenang-wenangnya menyebabkan keseluruhan kaum Cina yang tidak berdosa menjadi mangsa.  Natijah atas provokasi yang melampau dan fitnah juga boleh menyebabkan ianya mampu mencarik perasaan kaum yang lain.  Keharmonian kaum yang dibina berkurun lamanya boleh sahaja ranap di dalam satu saat. 
Belajarlah daripada sejarah kerana sejarah itu tidak pernah berbohong. 

# Sumber dari Page Patriots. 

Comments

Popular Posts