AMALAN BERKHATAM YAHUDI (3)
Amalan Berkhatan Masyarakat Yahudi (III)
Di mana dan Bila Brit Milah Dijalankan?
Upacara Brit Milah dilakukan ke atas setiap kanak-kanak lelaki Yahudi ketika berumur 8 hari. Amalan itu perlu diteruskan walaupun hari ke-8 bayi lelaki tersebut jatuh pada hari-hari kebesaran Yahudi seperti Yom Kippur dan Sabbath (Sabtu). Dan brit milah juga boleh dilakukan pada waktu siang atau malam mengikut kesesuaian masa ibu bapa.
(Di dalam Islam, Yom Kippur adalah Hari Asyura atau sambutan 10 Muharram)
Bagi kes bayi yang dilahirkan secara pembedahan atau diletakkan inkabutor disebabkan tidak cukup umur, brit milah boleh ditangguhkan atas alasan-alasan kemudaratan kesihatan.
Bagi masyarakat Yahudi, tempat melakukan Brit Milah adalah bebas sama ada ianya ingin dilakukan di Synagogue (Kuil Yahudi), dewan orang ramai atau di rumah. Namun begitu, kenduri kesyukuran harus dilakukan sebagai memenuhi tuntutan agama Judais.
Majlis Brit Milah
Semasa upacara ingin dijalankan, bayi lelaki akan dibawa oleh kvatter ke dalam bilik khas. Kvatter adalah gelaran kepada orang yang dipertanggungjawabkan membantu Mohel dalam amalan Brit Milah.
Semasa Brit Milah, dua kerusi disediakan sebagai tempat meletakkan bayi lelaki tersebut. Kerusi pertama digelar sebagai Sandek dan kerusi kedua digelar “Chair of Elijah” (Kerusi Ilias)
(Gambar: Chair of Elijah tidak semestinya lebar sebegini, ia boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan corak)
Menurut kepercayaan Judais, sesiapa yang membantu memegang bayi di kerusi Sandek akan memperoleh kerahmatan jiwa sesuci jiwa bayi tersebut. Meletakkan bayi ke atas kerusi Sandek juga dianggap penghormatan kepada orang yang melihat upacara Brit Milah. Biasanya antara individu yang digalakkan membantu di kerusi Sandek ialah datuk kepada bayi tersebut.
Kerusi kedua pula berperanan sebagai penerapan nilai-nilai kesucian peribadi Prophet Elijah (Nabi Ilias a.s.). Menurut kepercayaan Judais, roh Nabi Ilias akan hadir setiap kali berlakunya brit milah sebagai tanda menerangkan kepentingan brit milah sebelum Tuhan merestui amalan tersebut.
Semasa berada di atas kerusi Nabi Ilias ini, Mohel akan membacakan doa khusus yang memohon agar roh Nabi Ilias bersama-samanya memastikan upacara Brit Milah berjalan dengan lancar.
Selepas memotong sebahagian kulit zakar itu, Mohel akan mengangkat segelas minuman suci dan membacakan doa-doa khusus. Serentak dengan itu, kemudiannya nama bayi lelaki dalam bahasa Hebrew akan diumumkan kepada orang ramai yang hadir.
Comments